Wednesday, May 27, 2009

SAFETY TIPS – PERSEKITARAN SELAMAT

SEWAKTU hidup sebagai suami isteri, banyak
peralatan dan perhiasan dalam rumah boleh diletakkan
di mana saja yang anda inginkan.

 Namun, apabila bilangan keluarga bertambah dengan
kehadiran si kecil,anda mula perlu mengalihkan
peralatan yang mungkin boleh membahayakan
keselamatan anak.

 Bermula daripada anak mula belajar mengengsot
menggunakan dua tangan dan punggung, merangkak
dan berdiri, peralatan dalam rumah yang boleh
membahayakan akan dialihkan beransur-ansur hingga
keadaan rumah jauh berbeza berbanding ketika anda
memasuki rumah untuk memulakan hidup berkeluarga.

 Tiada lagi pasu bunga, benda tajam atau barangan
mudah pecah yang diletakkan di lantai atau tempat
yang difikirkan boleh dicapai oleh anak. Malah, ada ibu
bapa yang mula memikirkan untuk tidak memakai alas
meja kerana khuatir ia ditarik anak menyebabkan
barangan di atasnya pecah atau berselerak.

 Persekitaran yang selamat diperlukan untuk anak
bergerak dengan mudah.Pelbagai kemungkinan boleh
berlaku pada anak anda akibat kecuaian seperti
terhantuk pada bucu tajam, termakan benda kecil,
kotor atau yang membahayakan, juga terkena benda
panas atau tajam.

 Langkah pencegahan dan sikap berhati-hati perlu ada
dalam diri ibu bapa bagi mengelak kejadian tidak
diingini menimpa anak anda.


Berikut adalah panduan untuk ibu bapa menyediakan
persekitaran yang selamat untuk bayi.;


 Pasang pagar pada tangga atau tempat kurang selamat,
misalnya pintu ke bahagian dapur. Pagar khusus itu biasanya
dijual di butik bayi atau pasar raya.

 Rumah biasanya dipenuhi pelbagai barangan dan
peralatan yang boleh membahayakan kanak-kanak. Simpan
bahan beracun di tempat khusus, manakala benda tajam
seperti peralatan dapur disimpan di tempat yang tidak mudah
dicapai bayi.

 Elak meletak air minuman panas di meja kopi tanpa anda
memantau pergerakan si kecil. Kelalaian boleh menyebabkan
kemalangan pada anak iaitu apabila dia menarik alas meja
atau mencapai cawan hingga menyebabkan kulit melecur.

 Jangan letak benda panas seperti cerek, periuk atau
seterika di lantai atau tempat yang mudah dicapai anak.

 'Walker' hanya digunakan ketika anak dalam pengawasan
anda, bukan sepanjang masa. Pantau pergerakan anak
supaya dia tidak menggunakan walker untuk mendekati dapur
atau benda panas.

 Sentiasa kunci pintu bilik air dari luar bagi mengelak anak
kecil memasukinya. Jangan biarkan baldi atau besen
mengandungi air kerana jika terleka, anak anda mungkin
bermain air yang boleh menyebabkannya lemas.

0 comments:

  © Free Blogger Templates Blogger Theme by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP